Kampung Cina Orang Cina di Terengganu

Pekan Cina Terengganu

Kawasan Kampung Cina atau kini lebih popular dengan nama Kuala Terengganu Chinatown yang pernah menjadi pusat perdagangan dan perniagaan antarabangsa terpenting di rantau ini pada abad ke-18 masih menyimpan pelbagai warisan bersejarah termasuk deretan bangunan tua yang bercirikan senibina tradisional cina purba.

Perigi tertua di Terengganu

Kampung Cina yang didiami penduduk berketurunan Cina sejak hampir 300 tahun lalu itu juga mempunyai sebuah perigi yang dipercayai tertua di Terengganu iaitu Perigi Low Tiey. Keistimewaan perigi Low Tiey ini bukan sahaja kerana usianya, namun dikatakan pernah berjasa kepada penduduk setempat serta membekalkan air kepada pedagang asing yang berniaga di situ. Perigi itu juga mempunyai keistimewaan tersendiri kerana airnya didakwa tidak pernah kering malah masih digunakan sehingga kini. Mengenai kewujudan perigi tua di Kampung Cina, ia dibina oleh empat orang kapitan Cina iaitu Law Kian Tee, Koo Swee Lin, Hin Khang Hoon dan Wee Teck Siew. Sebelum dibina, penduduk di Kampung Cina dan Kampung Tiong menggunakan air sungai untuk kegunaan harian.

Perigi tersebut dibina dengan menggunakan simen, berukuran 20 kaki panjang dan 20 kaki lebar, berbentuk bulat dan dipisahkan kepada dua bahagian oleh tembok simen. Ketinggian tembok adalah lebih kurang tujuh kaki, satu bahagian adalah kegunaan kaum wanita manakala satu bahagian adalah untuk kaum lelaki. Kewujudan perigi itu mempunyai kaitan dengan sejarah pekerjaan awal penduduk di kawasan tersebut pada zaman dahulu. Menurut cerita orang tua-tua, penduduk Kampung Cina yang miskin mengambil upah mengangkut air dari perigi itu untuk dibekalkan kepada golongan kaya sejak hampir 200 tahun lampau. Upah biasanya dibayar mengikut jumlah air yang diangkut iaitu satu sen setong. Bagaimanapun pekerjaan itu tidak kekal lama kerana menjelang tahun 1940-an golongan wanita sudah mempunyai pekerjaan lain termasuk menjalankan perniagaan di Pasar Besar Kedai Payang dan sekitarnya.

Senibina

Masyarakat berketurunan Cina yang paling padat menetap di negeri ini pada masa dahulu ialah di Kampung Cina dan ia menjadi pilihan kerana kedudukannya di sebelah kanan muara Sungai Terengganu yang menjadi tempat berlabuh wangkang. Rumah dibina bertiang tinggi bagi mengelakkan ancaman pasang surut air sungai atau banjir. Ia menyerupai bentuk rumah yang terletak di negara China. Namun kini kebanyakan kaum Cina di Kuala Terengganu tinggal di taman-taman perumahan dan kondominium di merata tempat di bandaraya ini.

Catatan bertulis

Sementara itu, menurut catatan sejarah, seorang mubaligh Kristian iaitu Medhurst dikatakan pernah singgah di Kuala Terengganu pada tahun 1828 untuk menyebarkan agama Kristian di kalangan orang Cina tempatan. Catatan beliau berbunyi: Berada di kawasan yang bebas, saya telah menghampiri orang Cina daripada beratus-ratus penduduk yang tinggal di rumah-rumah yang diperbuat daripada batu-bata yang telah lama dibina, Wanita-wanita dan kanak-kanak semuanya menggunakan bahasa Cina untuk berhubungan antara satu sama lain dan kurang bergaul dengan orang-orang Melayu.

Sementara itu, menurut catatan sejarah Munshi Abdullah telah tiba pada tahun 1838 dan membuat catatan mengenai Kampung Cina seperti yang diceritakan dalam Hikayat Munshi Abdullah ke Kelantan dan Terengganu. Catatan itu berbunyi: Kemudian sampailah sahaya di Kampung Yamtuan. Maka sahaja lihat rumahnya rumah batu, ada kira-kira 30 kaki lebarnya, maka bangunannya itu seperti rumah Cina, maka segala tembok itu penuh kotor ludah sirih dan lumut-lumut, dan lagi ada sebuah rumah batu tempat menaruh daging.

Catatan bertulis seterusnya mengenai Kampung Cina dapat dilihat dalam laporan yang disediakan oleh Hugh Clifford yang telah memasuki kawasan pendalaman Terengganu dalam usahanya untuk mengejar dan menangkap pembesar-pembesar Pahang yang melancarkan gerakan menentang Inggeris pada awal abad ke-17.